بسم الله الرحمن الرحيم
Pada waktu musim cuti persekolahan akhir tahun ini, banyak ibu bapa yang sedang mencari Maahad Tahfiz atau sekolah beraliran agama untuk anak-anak. Perlu diingatkan, tidak semua sekolah (khususnya swasta) mampu menyediakan pendidikan yang terbaik memandangkan pendidikan adalah satu usaha yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi disamping keikhlasan dan komitmen yang padu. Untuk membantu anda membuat pilihan yang betul, saya nyatakan beberapa faktor penting yang perlu diambil kira berdasarkan pengamatan dan pengalaman peribadi saya supaya pilihan yang dibuat menepati hasrat yang mulia ini.
1. Pentadbir
Pastikan yang pentadbiran tidak hanya tertumpu pada seorang individu sahaja sama ada mudir atau pemilik sekolah. Sebaik-baik pentadbiran adalah yang mempunyai struktur organisasi yang tersusun dan ia benar-benar wujud dan berfungsi menentukan halatuju sekolah. Terdapat sekolah yang mana segala keputusan sama ada dalam kurikulum dan pembangunan ditentukan oleh seorang mudir sahaja.
2. Kurikulum
Patikan kurikulum yang ditawarkan bertepatan dengan tujuan utama sekolah ditubuhkan. Lebih penting dari itu, kurikulum itu boleh dilaksanakan dan mampu diterima oleh murid. Terdapat sekolah yang kurikulumnya terlalu padat kerana hendak memenuhi kehendak akademik dan tahfiz, akibatnya pelajar tidak mampu menanggung beban pembelajaran dan gagal dalam kedua-dua bidang.
3. Syarat Kemasukan
Bagi sekolah yang menjaga kualiti, kebiasaanya akan diadakan temuduga bagi setiap pengambilan. Sekolah yang berkualiti tidak mengambil sembarangan pelajar. Contoh temuduga : pelajar diberi masa setengah jam untuk menghafal setengah muka surat Al-Quran untuk menguji hafalan di samping keputusan akademik yang tinggi.
Hal ini sangat penting, kerana ia akan menentukan dengan siapa anak kita akan berkawan. Terdapat sesetengah sekolah yang menerima semua pelajar tanpa mengira latar belakang. Ada ibu bapa yang menghartar anak kesekolah sebegini kerana tidak mampu mengawal anak mereka atau sudah dibuang sekolah dan sebagainya. Pelajar begini masuk ke sekolah dengan membawa masalah dan ia akan memberi pengaruh kepada pelajar yang lain.
4. Alumnai Sekolah
Salah satu cara yang mudah untuk menilai sesebuah sekolah adalah melihat kepada pelajar-pelajar keluaran mereka. Jika kebanyakan alumnai berjaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, ia menggambarkan kejayaan sekolah dalam melaksanakan pendidikan yang berkualiti. Jika tidak, anda perlu menyemak dengan lebih teliti.
Banyak lagi faktor yang boleh dipertimbangkan seperti kumudahan infrastruktur, kawalan murid di asrama dan sebagainya. Semua ini akan membentuk anak-anak kita sama ada menjadi bertambah baik atau sebaliknya. Jika anda benar-benar berhasrat untuk memilih sekolah berasrama, pastikan anak anda telah ditanam dengan jati diri yang kukuh sejah dari rumah lagi.
Kesimpulannya, saya sangat bersetuju jika anak-anak dihantar ke sekolah beraliran agama kerana ia salah satu jalan untuk menjadikan anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat. Tetapi perlu diperhatikan, agar sekolah yang dipilih benar-benar berkualiti agar masa depan anak kita lebih terjamin.