Monday, April 27, 2009

3 Permintaan Utama Mahasiswa


Alhamdulillah semalam (27 April 2009), UPSI menerima kunjungan mengejut dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik 2 minggu lalu, Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau dalam perjalanan pulang dari majlis perasmian konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah singgah ke UPSI.

Selepas bertemu Naib Canselor, Dato' Aminah Ayob, beliau meluangkan masa lebih satu jam bersama pimpinan mahasiswa. Pertemuan santai yang begitu menyenangkan dan tidak terlalu formal. Ketika memulakan bicara, beliau menegaskan :

"Ada 3 perkara yang perlu diraikan kepada mahasiswa iaitu : mahasiswa mahu suaranya didengari, isunya ditangani dan peranannya diiktiraf... Perkara ini senang disebut, tetapi tak mudah dilaksanakan".**

Sesi dialog dimulakan oleh Armadi (Exco Perpaduan MPP) dengan persoalan pembinaan kampus baru UPSI yang 'agak perlahan' dan diikuti dengan pelbagai masalah diutarakan terus kepada Datuk Saifuddin. Beliau meraikan setiap persoalan dan mencatatnya secara peribadi untuk tindakan lanjut.

Diakhir dialog, saya sempat bertanya tentang pindaan AUKU yang seakan-akan 'tidak difahami oleh semua HEP'. Beliau bersetuju dan telah menegaskan sebelum ini bahawa mahasiswa tidak sewajarnya dilayan seperti 'budak sekolah' . Dan ini perlu difahami oleh seluruh pentadbiran universiti.

Petang semalam saya dihubungi Sdr. Shamsul Qamar, Pegawai Khas Datuk Saifuddin, meminta saya memberi komen tentang pertemuan tersebut. Sebagai wakil pelajar, saya berharap pertemuan seperti ini dapat menjadi titik tolak kepada 'pencerahan idealisme' gerakan mahasiswa di negara kita.

Kami mahasiswa UPSI sangat mengalu-alukan dialog yang segar seperti ini dan diharapka ia dapat diteruskan pada masa akan datang. Wallahu'alam.

**Jika anda berminat, boleh dapatkan kertas kerja beliau "kerangka Baru Gerakan Mahasiswa" yang dibentangkan sebelum menjadi Timbalan Menteri lagi.

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template