Baru-baru ini keputusan SPM dan STPM telahpun diumumkan. Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dan kepada yang kurang menyerlah, usah berputus asa kerana masih banyak peluang yang terbuka luas dalam menggapai kejayaan sama ada melalui bidang akademik mahupun kemahiran. Namun tidak dinafikan masih ramai yang keliru dan tidak yakin dengan pilihan yang dibuat walaupun telah mendapat keputusan yang cemerlang.
Perlu diingat bahawa, memilih bidang pengkhususan di peringkat pengajian tinggi atau universiti tidak semudah memilih aliran pengkhususan pengajian selepas tamat PMR. Bermula saat ini, pelajar lepasan persekolahan akan memasuki alam permulaan dewasa, dimana mereka mula mendapat autonomi untuk membuat keputusan dalam setiap aturan kehidupannya. Dalam usaha memilih kerjaya atau bidang yang sesuai dengan jalur kemahiran yang ada pada diri seseorang pelajar, mereka perlu merujuk kepada insan yang lebih berpengalaman dan mempunyai capaian informasi yang baik. Ibu-bapa, abang, kakak, rakan-rakan, kaunselor sekolah dan mereka yang mempunyai maklumat yang terperinci mengenai sesuatu bidang pengajian perlu dirujuk terlebih dahulu. Hatta, segala maklumat mengenai institusi pengajian tinggi yang dipohon perlu dikaji agar tidak berlaku kesilapan dalam membuat pilihan dan tidak berlaku pembaziran masa. Tatkala berlaku kesilapan, konsekuensinya mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan pilihan lalu membuat keputusan menukar institusi pengajian tinggi dan ini merugikannya.
Dalam proses menentukan bidang pengkhususan yang ingin diceburi, terdapat pelbagai teori yang boleh diaplikasikan. Teori Holland yang juga diringkaskan dengan akronim RIASEC, menyatakan bahawa, pemilihan kerjaya perlu dilihat berdasarkan minat dan latar belakang keluarga. Teori ini menjelaskan bahawa minat seseorang boleh dibahagikan kepada tiga kecerdasan atau kemahiran. Pertama, melibatkan research and investigative atau penyelidikan dan penerokaan. Kedua pula merangkumi art and social atau seni dan sosial, sementara ketiga adalah enterprenurs and convensional.
Golongan pertama lebih suka menyendiri dalam melaksanakan penyelidikan benda bukan hidup atau menyelidik manusia. Mereka tidak sukakan manusia pada setiap masa, boleh memberi tumpuan kepada benda-benda dan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Contoh bidang yang sesuai untuk golongan ini adalah polis, penyelidik, saintis dan pereka fesyen. Berbeza dengan golongan pertama, golongan kedua pula suka kepada aktiviti sosial. Mereka sukakan manusia, suka berkomunikasi secara lansung, memahami dan membantu orang lain. Contoh bidang yang sesuai untuk mereka adalah perguruan, pelukis, motivator dan penggerak badan bukan kerajaan (NGO). Golongan ketiga pula lebih berorientasikan keuntungan dan kekuasaan. Mereka cenderung kepada populariti dan melihat sesuatu sebagai satu peluang untuk mencapai cita-cita. Orang yang memiliki kecenderungan seperti ini lebih sesuai melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan politik.
Dari teori Holland ini, kita dapat menentukan bidang yang mana lebih sesuai untuk kita ceburi sebagaimana yang diungkapkan cendikiawan “jika anda menyintai kerja anda, maka anda tidak akan berkerja selamanya”. Bagi yang tidak berpeluang ke peringkat menara gading, percayalah bahawa terdapat banyak lagi laluan yang terbuka luas untuk diterokai. Jika anda cenderung kepada bidang kemahiran, terdapat institusi kerajaan mahupun swasta yang menawarkan pelbagai kursus yang sangat relevan dengan tuntutan semasa dan ia juga boleh membawa anda ke peringkat pengajian tinggi. Pusat Latihan Giat Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara adalah antara institusi yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia yang diiktiraf untuk pasaran kerja dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Selain itu, bagi yang meminati bidang seni ukiran dan kraftangan, Institut Kraf Negara adalah institusi yang menawarkan pengajian.
Kesimpulannya, ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran adalah sangat luas di Negara kita. Ini betepatan dengan slogan “pendidikan untuk semua” yang telah dipersetujui dalam Deklarasi Jomtein pada tahun 1990. Pelajar lepasan sekolah perlu dibimbing dalam menentukan halatuju mereka agar mereka benar-benar cemerlang dalam bidang yang diceburi dan seterusnya memberi sumbangan bermakna buat negara.
0 comments:
Post a Comment