Thursday, May 13, 2010

Menanam Akidah pada Anak-Anak


“Cikgu, nak buat apa dengan buah limau tu?” tanya Hamdan, murid saya yang suka melakukan aktiviti fizikal berbanding menulis. Murid yang lain juga tertanya-tanya, kenapa hari ini saya membawa satu plastik buah limau ke kelas mereka.

“Baik, hari ini kita akan buat satu aktiviti. Setiap orang ambil satu biji buah limau ni”, kata saya mengagihkan buah limau itu kepada mereka. Kelas Ibtidai 1 dan 2 sekolah kami mempunyai bilangan murid yang sedikit berbanding kelas lain.

“Ok, cikgu nak semua orang keluar dari kelas ni, cari satu tempat yang tiada siapa-siapa boleh nampak awak dan makan buah ni sampai habis…dah habis balik ke kelas, cikgu tunggu kat sini, boleh tak?”

“Faham, saya dah tahu nak menyorok kat mana ustaz” kata Hakim. Murid lain sedang berfikir penuh keterujaan.

“Boleh mula sekarang!”

Semua pelajar Ibtidai 2 bertebaran lari keluar kelas. Saya sekadar tersenyum melihat kerenah anak murid yang begitu cepat membesar. Untung juga SKM (sekolah kurang murid) ni, boleh buat banyak aktiviti. Lagipun, kosnya pun tak tinggi.

“ustaz, saya dah habis makan!” Aizat, murid pertama muncul, diikuti murid yang lain.

“Awak makan kat mana?” Tanya saya pada setiap orang.

“Saya makan dalam setor, bila cikgu Paizah Tanya buat apa? Saya cakap main nyorok-nyorok dengan ustaz Arif, dia tak Nampak buah limau saya” kata Aizat memberi penjelasan. Murid dan saya lain mendengar dengan teliti.

“Saya makan belakang pintu Ustaz” kata Hakim.

“Saya makan bawah tangga asrama perempuan” kata Fariesha pula.

“saya makan atas surau lama” kata Hamdan.

“saya makan kat bawah surau” Hafiz pula berbicara.

“Saya makan belakang tandas dekat kelas tingkatan 3 ustaz” kata Firdaus Ibtidai’ 1. Dia yang paling jauh menyorok setakat ni.

“Betul ke tak ada sapa-sapa pun Nampak awak makan tadi?”

“Betul ustaz!” kata Izwan, sangkanya aktiviti ini ada pemenangnya.

“Sebenarnya, suatu masa dahulu ada seorang ulama pernah buat aktiviti macam ni. Dia bagi setiap muridnya sebiji buah pisang. Lalu diminta mereka keluar dan makan buah itu di tempat yang tak ada siapa pun boleh Nampak” saya berhenti sejenak, memilih perkataan yang terbaik sesuai dengan aras mereka. Sesungguhnya kanak-kanak sangat mementingkan proses suatu aktiviti, sedang guru pula perlu memastikan objektif pelajarannya sampai hari itu.

“Apabila keluar, muridnya berlari jauh… ada yang menyorok dalam semak, ada makan belakang batu, belakang pokok dan macam-macam lagi. Bila dah habis makan. Sorang-sorang muridnya balik semula ke kelas. Tetapi ada seorang murid yang pulang membawa kembali buah pisang itu… dia tak makan macam orang lain” saya berhenti sekejap.

“Kenapa ustaz?” tanya Firdaus, begitu juga dengan murid lain.

“Ulama tadi bertanya kepada muridnya. Kenapa kamu tak makan buah pisang ni?”

Jawab muridnya “sewaktu keluar tadi, saya cuba cari tempat untuk makan buah ni. Setiap kali saya nak makan, saya rasa Allah melihat saya. Saya lari ke tempat lain, tapi saya rasa Allah tetap melihat saya… jadi saya bawa balik buah ni”.

Kata ulama itu “Dalam ramai-ramai anak muridku, kamu seorang saja yang faham. Benar, sesungguhnya taka ada tempat yang Allah tak melihat kita”. Saya melihat muka setiap murid. Izwan yang tadi sangkanya telah berjaya, terlopong mulutnya mendengar cerita itu. Seakan tak percaya.

“Sedangkan sebiji pasir bergerak didasar lautan Allah tahu, inikan pula kita yang berlari bawa buah limau menyorok untuk makan. Jadi tak ada tempat yang tak ada sapa-sapa tak Nampak sebab Allah melihat kita.” Jelas saya lagi.

“sebenarnya ada yang Nampak saya makan tadi” tiba-tiba Firdaus yang makan belakang tandas bersuara. “Ada kerengga yang nampak saya makan!” katanya sambil tersenyum.

Saya gembira mendengar respon yang baik dari murid tentang aktiviti hari ini. Semoga mereka menjadi insane berjaya suatu hari nanti, insya-Allah.

“Allah melihat setiap perbuatan kita”

p/s : terima kasih kpd sahabat-sahabat Quranic Group yang sudi berkongsi idea aktiviti menarik seperti ini. Semoga kalian terus istiqamah dalam mendidik adik-adik Hulu Bernam.

2 comments:

Norhafizawati Bt Mahmad Rozali said...

lama xtgk artikel baru cikgu...

syauqah musafir said...

satu perkongsian yg menarik
bukan mudah menanam tauhid dalam diri anak2
ana baca artikel ni ana teringat karenah adik2 di rumah. pening juga macammana nak menanam tauhid dalam diri mereka. dalam masa yg sama nak tanamkan akhlak yg baik dalam diri mereka. adik2 kt rumah 2 suka bergaduh dan bertekak. ana suka leraikan mereka dengan kata, kalau abang ejek adik, abang dapat dosa. adik ejek abg, adik dapat dosa. ejek banyak, banyak dapat dosa. orang yg dosa dia banyak masuk dalam api neraka. akhirnya mereka berhenti bgaduh sambil menahan kemarahan yang tak terkira. ana terus tarik tangan salah seorang supaya menjauh sementara menanti kemarahan reda. pastu mereka baik semula
adik beradik, biasala...

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template