Friday, June 12, 2009
SPM 10 Subjek
Baru-baru ni Tan Sri Dato' Muhyiddin bin Mohd. Yassin, TPM merangkap Menteri Pelajaran kita telah membuat beberapa cadangan bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara. Pertamanya menghadkan SPM hanya kepada 10 subjek. Keduanya Bahasa Inggeris hendak dijadikan syarat wajib untuk lulus SPM.
Sebagai rakyat Malaysia keluaran SPM tahun 2000, saya berminat untuk memberi komen tentang isu ini. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu pendidikan.
Pertama, menghadkan pengambilan subjek dalam SPM hanya kepada 10 subjek. Pada dasarnya, ia satu cadangan yang baik memandangkan seolah-olah masyarakat terlalu memuja "A" yang ada dalam slip peperiksaan. Tetapi adakah perlu ianya dikawal/dihadkan pada angka tertentu?
Saya kurang bersetuju kerana ia bertentangan dengan prinsip "pendemokrasian" pendidikan yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara yang berhasrat "mencungkil potensi setiap individu secara menyeluruh dab seimbang". Jika pelajar itu potensinya lebih dari 10 subjek (rekod terkini 21 subjek), maka kita telah mensia-siakan aset yang ada dalam negara ini.
Jika kita mengkaji tentang "Pintar Cerdas", kita mendapati sistem pendidikan yang mengonkong adalah antara punca utama yang menyebabkan bakat terpendam seseorang itu hilang. Kita masih belum mampu melahirkan doktor pada usia 17 tahun (seperti di Indonesia), pemegang PhD seawal usia 21 tahun dan sebagainya. Jika sistem yang ada sudah tidak mampu, inikan pula jika ia dihadkan.
Secara tabiinya pula, manusia akan lebih bertanggungjawab jika mereka dibenarkan membuat pilihan. Manusia tidak suka malah akan memberontak apabila autonomi mereka untuk membuat pilihan telah diambil. Sesetengahnya meluahkan rasa tidak puas hati itu dengan cara yang radikal seperti pemberontakan individu, demonstrasi atau rusuhan. Bagi remaja yang berdarah muda dan kurang pertimbangan, autonomi pada mereka adalah sangat sensitif. Jika ianya diambil/dikawal dengan ketat, maka remaja itu akan hilang rasa tanggungjawab pada dirinya. Apabila hilangnya rasa bertanggungjawab, pelbagai perkara boleh terjadi.
Kesimpulannya, mengehadkan SPM kepada 10 subjek seperti tindakan mundur kebelakang dan jauh dari prinsip demokrasi dalam pendidikan. Tidak perlulah ia dilaksanakan sebab tak ramai pun pelajar kita yang mampu mengambil lebih dari 15 subjek!
p/s : Isu BI sebagai syarat wajib saya ulas lain kali.
Labels:
Isu semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment