Friday, September 04, 2009

Kepimpinan Mahasiswa UPSI Perlu Berani

Bulan lepas beberapa persatuan yang aktif di kampus telah membuat Mesyuarat Agung persatuan masing-masing. Tahniah kepada kepimpinan persatuan yang berjaya mengkaderkan pelapis untuk meneruskan agenda perjuangan masing-masing. Namun adakah perjalanan organisasi yang dipimpin selama ini benar-benar menepati idealisme orang muda yang digelar mahasiswa?

Gerakan mahasiswa di setiap organisasi adalah berbeza-beza mengikut acuan yang dibentuk pimpinan yang dilantik dalam organisasi itu. Istilah gerakan mungkin kurang tepat jika organisasi itu hanya mengulang-ulang skrip lama yang ditinggalkan oleh kepimpinan sebelumnya tanpa melakukan penambahbaikan yang benar-benar menepati istilah gerakan. gerakan yang benar-benar berkesan akan memberi kesan kepada mahasiswa, universiti dan masyarakat.

Setelah 8 semester berada di UPSI hampir 9 bulan dalam MPP, saya melihat perlunya ada satu sistem yang melatih kepimpinan mahasiswa di setiap peringkat bermula dari kumpulan membuat tugasan pensyarah, kolej, persatuan sehingga ke peringkat tertinggi organisasi gerakan mahasiswa, MPP. Apa yang saya lihat, kebanyakan pemimpin yang dilantik tidak melalui satu sistem latihan kepimpinan yang tersusun, bermula dari seseorang itu menjejak kaki ke pintu persatuan sehingga ia memegang tampuk pemerintahan. Lebih malang lagi jika ia dilantik atas dasar kroni Majlis Tertinggi persatuan. Hasilnya, lahirlah pemimpin mahasiswa yang lesu dan hanya meneruskan skrip yang ditinggalkan pimpinan lama.

Apa sebenarnya keperluan mahasiswa? Pada saya, setiap mahasiswa perlu dicabar minda intelektualnya agar ia benar-benar berfungsi sebagai orang muda yang kritikal dan responsif. Tidak semua orang terpilih untuk berada di universiti. Masyarakat menaruh harapan tinggi agar orang muda yang masuk di universiti inilah yang akan memimpin negara suatu hari nanti. Amat malang jika mahasiswa yang berada disini masih sama pemikirannya dengan rakan-rakan mereka diluar. Dunia kampus, adalah dunia idealis. Kadang-kadang saya pelik, mengapa sebahagian besar mahasiswa UPSI berfikir seperti orang tua yang telah lama berada di alam pekerjaan, berkeluarga dan beranak pinak. Tidak idealis malah sangat penakut untuk beridealis. Segalanya dilihat pada kaca mata pentadbiran. bukan pada pandangan mahasiswa yang tulen.

Kata pujangga "ramai orang boleh jadi pemimpin, tetapi tidak semuanya boleh memimpin..."

Semoga kepimpinan baru mahasiswa sesi ini boleh mengubah keadaan ini. Selamat berjuang!

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template