Saturday, July 11, 2009

Ko-SPIN '09


Alhamdulillah, semalam saya dan beberapa rakan mahasiswa UPSI (2 buah kereta dan sebahagiannya naik bas) berpeluang menghadirkan diri ke Ko-SPIN '09 di Auditorium Muzium Shah Alam. Saya tidak ke pragram 100 hari Kepimpinan Dato' Seri Najib kerana kongres ini lebih penting dari itu kerana ia memperkatakan tentang sistem pendidikan negara selepas 50 tahun kita merdeka!

Isu yang dibincangkan dalam Ko-SPIN ini sangat kritikal dan memerlukan tindakan semua pihak. Sistem pendidikan yang ditinggalkan penjajah telah menyebabkan kita tidak dapat membezakan antara Pendidikan Islam dengan Sistem Pendidikan Islam. Apa yang difahami sebahagian besar dari kita adalah sangat jauh dan sempit apabila mengotakkan Pendidikan Islam hanya pada satu mata pelajaran sahaja.

Islam adalah cara hidup. Maka Pendidikan Islam sepatutnya diangkat menjadi satu sistem yang mengatur seluruh perjalanan pendidikan negara. Generasi yang lahir dari sistem ini bukan sekadar memiliki ilmu pengetahuan, malah mereka tahu bagaimana menggunakan ilmu itu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Tajul Ariffin adalah yang paling menarik perhatian saya kerana ia membincangkan persoalan dasar yang perlu difahami semua pihak. Beberapa cadangan tindakan yang dicadangkan oleh beliau juga sangat perlu dilaksanakan.

Beberapa cadangan saya untuk Ko-SPIN yang akan datang :

1. Libatkan lebih banyak NGO, parti politik, persatuan pelajar, PIBG dan guru-guru dalam kongres seperti ini. Beri peluang kepada NGO yang serius memperjuangkan pendidikan Islam seperti ABIM dan JIM membentangkan usaha yang telah mereka lakukan.

2. Libatkan institusi pondok yang masih bertahan sehingga hari ini seperti Maahad Tarbiyyah Islamiah Derang, Pondok Pasir Tumboh dan sebagainya supaya perbincangan dan tindakan yang diambil lebih menyeluruh.

3. Gamis perlu mengkaji bagaimana gelombang kebangkitan Islam yang pernah berlaku di negara kita pada akhir tahun 1970-an dan 1980-an dapat digerakkan kembali. Libatkan semua pihak khususnya gerakan mahasiswa dalam dan luar negara. Kita perlu gelombang kedua untuk menyedarkan semua pihak.

Saya juga berasa terkilan apabila pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melarang mahasiswa terlibat dalam forum yang penting sebegini semata-mata kerana ia dianjurkan oleh GAMIS. Layanan sebegini sebenarnya memburukkan lagi pandangan gerakan mahasiswa kepada KPT. Teringat saya kepada kata-kata Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri KPT "Sedangkan restoran mamak pun boleh buat gabungan, inikan pula mahasiswa". Mahasiswa tidak pernah lupa pada janjinya yang pernah diungkapkannya itu.

Tahniah kepada pentadbiran IPG yang menghantar wakil dengan peruntukan dari pentadbiran mereka. Tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar sekolah yang turut hadir bersama guru-guru mereka. Kalian lebih bernasib baik dari kami.

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template