Monday, July 13, 2009

Pemimpin Universiti dan Ahli Akademik Perlu Berani

Saya tertarik dengan persoalan yang dilontarkan oleh salah seorang bekas pimpinan mahasiswa di Ko-SPIN'09 baru-baru ini. Persoalan tentang gerakan mahasiswa yang mandong dan tidak kisah dengan apa yang berlaku di sekitar mereka.

Jawapan yang diberikan Dr. Siddiq Fadzil agak sinis "pemimpin universiti pun tak bercakap, inikan pula mahasiswa... apabila timbul isu, yang ditanya adalah orang awam di tepi jalan". Pendapat orang awam pula disebarluaskan oleh media "..mmm baguihla kerajaan buat macam tu" kata beliau mengajuk percakapan orang utara.

Sebenarnya, isu mahasiswa dilabelkan sebagai lesu telah lama dibincangkan. Tetapi kita hampir-hampir terlupa, bahawa ahli akademik dan pentadbiran universiti juga menghidapi penyakit yang sama. Kebanyakannya bersikap 'play safe' dengan mengelakkan diri dari berbeza pandangan dengan arus perdana, sedangkan kita berada di institusi 'non-partisan' yang sepatutnya bebas mengemukakan pandangan.

Saya sangat bersetuju jika ahli akademik dan pemimpin universiti terlebih dahulu menunjukkan contoh 'keberanian' yang sepatutnya kepada mahasiswa. Teringat saya kepada forum PPSMI yang dianjurkan semester lepas, program itu hampir-hampir sahaja dibatalkan atas arahan pentadbiran universiti. Jika hari ini saya berhasrat mengulangi forum yang sama, sudah tentu mereka bersetuju tanpa banyak soal. Betapa bacul dan kerdilnya jiwa pentadbir kita, sedangkan isu PPSMI terlalu dekat dengan warga UPSI.

Begitu juga mahasiswa UPSI, kebanyakannya memilih jalan selamat dan hanya menjaga kepentingan diri sahaja. Cukuplah kalau asigment siap dan dapat A. Majlis ilmu kurang mendapat tempat. Sedangkan merekalah yang akan melaksanakan dasar pendidikan negara suatu hari nanti.

Saya menyeru agar semua pihak khususnya mahasiswa, pensyarah dan pemimpin universiti sentiasa peka dan responsif dengan isu yang berlaku dalam negara khususya isu pendidikan. Jika kita semua hanya menjadi pemerhati dan mengambil manfaat peribadi sahaja, maka tidak hairanlah jika pendapat orang awam terus dijadikan kayu ukur permasalahan negara.

"Saya pun nak jadi jutawan jugak" kata seorang pakcik di sebuah pasaraya dalam telivisyen.

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template